Wednesday, February 10, 2016

B-29 dan Masjid Kobe (1945)


Hari ini pertama kali melihat gambar Masjid Kobe tetap berdiri teguh terpelihara daripada pengeboman udara pada 1945 telah mengkagetkan saya.

Pertamanya saya tidak tahu adanya sebuah masjid di sana. Keduanya, pada kala itu boleh dikatakan tidak ada kota di Jepun terselamat daripada gelombang armada pesawat pengebom B-29, yang menjadikan tempat-tempat ini padang jarak padang tekukur. Dengan berdirinya Masjid Kobe, merupakan tanda Kebesaran Allah bagi hamba-Nya yang berfikir.
Pengeboman armada B-29 atas dermaga Kobe, 1945
Pada 1945, Kuasa Paksi (Axis) sudah hampir di ambang kekalahan. Berlin tumbang, berakhirlah Reich Ketiga. Kini Jepun terpaksa bertahan menahan gelombang kemaraan Kuasa Perikatan. Sejak 1944 lagi, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAAF) telah melaksanakan misi pengeboman atas kota-kota Jepun. Ini merupakan polisi yang telah diamalkan sama seperti mereka menghancurkan Hitler: tidak ada kota (dan industri) Jepun terlepas daripada kemusnahan. Tidak lain tidak bukan hanyalah meruntuhkan semangat juang orang Jepun dan supaya perang segera ditamatkan.
                         
Senjata utama USAAF adalah pengebom berat B-29 Stratofortess, yang mampu terbang tinggu melebihi keupayaan mana-mana pesawat pemintas Jepun. Pesawat empat enjin ini terbang dalam formasi sejauh ribuan kilometer dan melepaskan muatan bom yang banyak ke atas kota-kota Jepun. 

Tegap dan sukar dijatuhkan oleh pejuang Jepun, tiada meriam anti-pesawat yang mampu menjatuhkan 'ikan paus terbang' ini. Rakyat Jepun hanya mampu lari menyelamatkan diri ke dalam kubu-kubu bawah tanah.
Jalan terdesak: Oleh sebab B-29 terlalu sukar
dikalahkan, Tentera Darat Imperial Jepun
membentuk pasukan 'Pemburu B-29' yang
ditugaskan untuk melanggar (ram) B-29
bagi menjatuhkannya.
Bom yang dilepaskan di Jepun pada 1945 adalah bom letupan tinggi (high explosive munitions), yang digunakan di Eropah (kerana struktur bangunan di Eropah lebih kukuh). 'Pengeboman permaidani' ini menghunjam bom tanpa diskriminasi siapakah yang ada di bawah. Itu pun sudah cukup meranapkan bandar-bandar ini. 

Pasca pengeboman Tokyo, 1945
Namun bermula pengeboman di Tokyo, USAAF mula mempraktikkan pengeboman pada waktu malam, dengan menggunakan senjata baru, iaitu bom pembakar (incendiary). Bom ini menyebarkan kemusnahan lebih dahsyat atas rumah-rumah kayu dan kertas orang Jepun. Pengeboman di Tokyo pada 1945 dalam satu malam sahaja telah mengorbankan 100,000 orang.
Pengeboman bom atom di Hiroshima (kanan) dan Nagasaki (kiri)
Jika anda mengkaji gambar-gambar pengeboman pada zaman itu, jangan pukul rata itu adalah kesan bom atom. Ini kerana bom atom digunakan di dua kota sahaja, iaitu Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945. Selebihnya adalah pengeboman 'biasa' sahaja.
Keteguhan Masjid Kobe menakjubkan. Segala yang lain runtuh (kecuali sebahagian kecil sahaja), dan tinggal masjid itu sendirian di padang yang asalnya sebuah kota metropolitan. Apabila bom menghentam bumi, pasti tersebar haba dan daya yang menghancurkan. 

Bukan sebutir bom, malah beberapa butir akan jatuh di kawasan yang hampir sama. Kemusnahan adalah hampir pasti. Pada pertimbangan akal kita, pasti masjid ini menempah nasib yang sama seperti bangunan-bangunan lain. Tetapi atas kehendak Allah, perkara ini tidak berlaku.

Bukan sekadar masjid ini selamat pada tahun 1945 daripada pengeboman yang dahsyat. Akan tetapi sekali lagi berlaku pada 1995, masjid ini bertahan apabila gempa bumi kuat melanda Kobe pada ketika itu.


Melihat Masjid Kobe ini, mengingatkan saya Masjid Baitur Rahman yang berdiri teguh ketika berlaku tsunami Acheh 2005. Segalanya adalah Perbuatan Allah yang Maha Perkasa, Menzahirkan Kebenaran-Nya. Jika diukur dengan akal manusia maka lemahlah manusia memikirkannya. Akan tetapi apabila menyandarkan ini adalah Perbuatan-Nya, pasti akal kita yang sihat dapat menerima hakikat ini.

Allahu'alam. Kita fikir-fikirkan...

Rujukan:
Henry Sakaida, (1997). Osprey aircraft of the Aces 13: Japanese army air force aces 1937-45. Osprey Publishing: Oxford


No comments:

Post a Comment