Tuesday, August 5, 2014

Analisa Ringkas Kemenangan Gaza, Gerila dan Terowong


Kemenangan moral di pihak Gaza sehingga mendesak pengunduran IDF (Israel Defense Force atau Zahal) dalam konflik 2014 ini merupakan pertolongan daripada Allah. Buat pertama kali sejak 6 dekad yang lampau, tidak pernah Zionis mengalami kekalahan seperti konflik Gaza 2014. Selama ini, Zionis telah menempa kemenangan demi kemenangan dalam lima perang menghadapi Arab-Nasionalis-sekular. Tentera Zionis yang lengkap bersenjata, mempunyai penguasaan penuh udara (complete air superiority), ketumbukan armor, artileri dan gerombolan infantri, tidak dapat menawan Gaza yang kecil itu.


Meskipun seramai lebih 1700 angka korban di Gaza, namun Allah telah memberika tanda kemenangan dengan lahirnya lebih 1400 bayi ketika konflik tersebut. Kelahiran bayi kembar empat adalah sesuatu yang menakjubkan dan ajaib, di kala si ibu yang tabah itu mengandungkan di sebalik hujanan peluru dan bom atas mereka.


Sememangnya orang Gaza yang berjuang berjihad secara gerila merupakan satu tamparan yang hebat buat kaum Muslimin. Seringkali kedengaran keluhan orang. "Mengapa orang Arab tidak mahu membantu?" Itu adalah satu soalan, yang masalahnya telah berakar umbi sekitar 100 tahun yang lampau. 

Angkatan bersenjata negara Palestina HAMAS, Briged Izzudin al-Qassam memperlihatkan peningkatan yang tersusun, mantap dan membanggakan. Jika dahulu dilihat bersenjatakan batu dan kemudian pengebom berani mati, kini daripada bengkel-bengkel yang serba kekurangan, mereka menghasilkan ribuan roket yang menggoncangkan Zionis. Mereka berjuang dengan cara gerila serta memberikan tentangan yang sengit buat musuh. Kemenangan para mujahid ini juga dilihat daripada taktik gerila dan terowong yang diiktiraf sebagai sofistikated (rumit) oleh pihak Zionis sendiri. 


Mujahidin Gaza, Briged Izzudin al-Qassam

Dalam bicara kali ini, ingin kita sorotkan wacana iktibar sejarah yang dikaitkan dengan Gaza. Begitu unik konflik kali ini, angkatan tentera rejim Zionis, iaitu Zahal ataupun dikenal sebagai IDF (Israel Defense Force) telah mengalami pukulan hebat dan mengejutkan daripada pihak HAMAS. Mereka sendiri kebingungan apakah halatuju dan hasil daripada perang ini. Sebagai pihak yang bukan berada di sana, ayuh kita suluhkan:


1. Pejuang Gerila dan Bintang Mujahidin Lampau

Sejarah perjuangan secara gerila oleh umat Muslimin melakarkan perjuangan yang menempa suka dan duka. Menjelang abad ke-19, kelemahan dalaman dan luaran (politik) kaum Muslimin seluruh dunia diasak dengan gencar oleh penjajah. Ini termasuklah British, Perancis, Rusia, Jerman, Itali dan Amerika Syarikat. Daulah Uthmaniyyah yang memayungi umat ketika itu dalam keadaan kelemahan dan dipandang oleh orang Eropah sebagai 'Orang Sakit Eropah' ('Sick Man of Europe).

Namun dalam kegoncangan itu, dalam keadaan goyah dan lemah pancang umat iaitu para penguasa, sultan dan raja, umat sempat 'disambut' oleh para ulama, secara khususnya ulama sufi. Dalam kajian ringkas, pada abad ke-19, menyaksikan perjuangan getir para ulama ini menyelamatkan umat Islam dari segi batin(dalaman) dan zahir melalui perjuangan jihad. 

Oleh sebab penguasa tidak lagi berdaya dan mengandalkan kekuatan konvensional (yang setara sama kuat) seperti era keemasan Daulah Uthmaniyyah, maka para ulama ini menghimpunkan kaum Muslimin dan melancarkan perang gerila terhadap penjajah. Secara umumnya, perjuangan mereka ini memakan masa berdekad-dekat, ada yang 30 tahun, ada pula mencecah 100 tahun. Perang gerila ini tidak asing dalam sejarah umat Islam. Kita senaraikan:


a. Imam Abdul Qadir al-Jaza'ir

Beliau merupakan ulama sufi daripada aliran Qadariyyah ataupun bernisbah kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Beliau telah menghimpunkan umat Islam di rantau Afrika Utara (Algeria) dan menentang penjajahan Perancis bermula 1830 sehingga 1847.


b. Imam Shamil al-Daghestani

Imam Shamil merupakan imam ketiga yang merupakan bintang pahlawan orang Chechnya-Daghestan. Beliau merupakan imam mursyid ketiga aliran sufi an-Naqshbandi al-Khalidiyah di rantau itu. Sebelum melancarkan jihad, beliau bersama murid (pengikut)nya mengimplementasikan undang-undang syariah dan menyebarkan majlis ilmu. Beliau berjuang bersama-sama umat pergunungan Kaukasus menghadapi penjajah Rusia dan mampu bertahan selama 30 tahun. Jihadnya telah mengakibatkan banyak kehilangan nyawa dan kelengkapan Empayar Rusia. Sehinggakan Tsar terpaksa menghantar gerombolan demi gerombolan tentera Rusia untuk menawan sedikit demi sedikit wilayah umat Islam. 


Namun kerana bersendirian bersama bangsanya, dan menghadapi strategi bumi hangus oleh Rusia serta pengkhianatan orangnya sendiri, Imam Shamil telah dikalahkan dan ditawan di Ghunib pada tahun 1859. Beliau telah dibawa ke Moskow. Akan tetapi, dengan diplomasi oleh Sultan Daulah Uthmaniyyah ketika itu, akhirnya Tsar mengizinkannya untuk dibawa ke Mekah. Beliau telah disambut dengan meriah dari kota ke kota. Dan apabila beliau tiba di kota Mekah, beliau telah disambut oleh para ulama Mekah. Sebagai penghormatan oleh ulama dan umat Islam, beliau dikuburkan di Baqi', iaitu tempat persemadian para Sahabat Nabi Muhammad s.a.w.



c. Sidi Umar Mukhtar

Mungkin kita pernah menonton filem Lion of the Desert. Mujahid padang pasir itu bernama Sidi Umar Mukhtar, pemimpin aliran sufi Sanusiyah sehingga syahidnya beliau pada tahun 1931. Beliau mewarisi legasi sejak 100 tahun yang lampau, iaitu sejak Sidi Syeikh Muhammad Ali Sanusi yang mencetuskan gerakan pembaharuan di Libya pada abad ke-19. Aliran Sanusiyah ini begitu berpengaruh di Afrika Utara, Tengah Afrika, Mesir dan Hijaz. Sehinggakan, pihak penjajah Itali mengakui, mereka mengakui gerakan Kristianisasi mereka gagal menembusi Afrika kerana sumbangan pihak Sanusiyah. Mereka membentuk struktur masyarakat yang mulanya berpecah-belah oleh permusuhan sesama kabilah kepada masyarakat yang bersatu padu dengan sistem zawiyah.

Apabila Daultah Uthmaniyah telah berundur dari rantau itu pada 1911, barulah penjajah Itali melanggar Libya. Tetapi mereka terpaksa menghadapi jihad dengan gerila yang dipimpin oleh Sidi Umar Mukhtar. Selama lebih 30 tahun, pihak Itali masih terumbang-ambing kerana gagal menewaskan orang Libya. Namun dengan cara kotor, pihak Itali melakukan perkara yang keji, iaitu melakukan bumi hangus, mengurung orang Libya dalam kem tahanan dan menggunakan gas beracun. Akhirnya, dengan takdir Allah, beliau telah ditangkap dan digantung pada 1931.


2. Gabungan Iktibar Sejarah dan Gaza 2014

a. Perang dalam Bandar (Fighting in Built Up Area - FIBUA)


Mengambil iktibar daripada sejarah, pihak yang kurang kuat seringkali 'pin-down' kuasa-kuasa besar dalam pertempuran dalam bandar (digelar fighting in built-up area - fibua). Gaza pula sebuah wilayah yang kecil dan padat dengan penduduk. Tambahan pula, dengan ruang yang ada itulah bangunan dan rumah didirikan. Ini menyediakan satu suasana yang pasti menyukarkan penyerang, tetapi memberikan kelebihan kepada yang bertahan. Bangunan yang rapat menyukarkan kemaraan kereta kebal dan menambahkan risiko serang hendap.

Kita lihat bagaimana kota Stalingrad telah menjadi titik kekalahan Wehrmacht Nazi Jerman pada 1942 apabila mereka terperangkap dalam pertempuran dalam bandar tersebut. Manakala askar Soviet pula bermati-matian mempertahankan kota itu dengan cara gerila. Kejayaan mereka bergantung kepada skuad-skuad tempur kecil yang hanya bersenjatakan submesingan, raifal dan bom grenad. 


Adolf Hitler yang obses mahu menjatuhkan maruah Stalin dengan kekalahan kota itu, telah menghantar banyak askar dan kelengkapan sehingga tahap memenatkan, kepungan itu gagal dan terlalu lama. Sehingga apabila tiba masanya, Jeneral Zhukov membuat kepungan klasik dengan 'pincer-movement' yang mengepung 6th Army.

Manakala di Chechnya pula, mempamerkan satu contoh klasik pertempuran fibua. Pergolakan politik di Chechnya mengundang Rusia untuk menjajahnya pada 1995. Dalam menawan ibukota Grozny, tentera kerahan (conscript) Rusia telah menghadapi tentangan sengit dan terpaksa membayar kemenangan dengan korban tinggi. Dalam pertempuran itu, mujahidin Chechnya telah menyerang dan memusnahkan banyak kereta kebal Rusia. Mereka telah melancarkan grenad dorongan roket (rocket propelled grenade - dikenal dengan RPG-7) dari sudut-sudut kelemahan kereta kebal. 


Bayangkan, pejuang Chechya telah meletupkan kereta kebal rintis di dalam kota dan meletupkan pula kereta kebal di belakang sekali. Dengan keadaan terperangkap itu, dengan mudah satu persatu kereta kebal Rusia dihancurkan.

Mujahidin Gaza dikhabarkan memberikan tentangan yang sengit kali ini. Dengan taktik gerila, mereka menyerang pantas dan menghilang. Ini memberikan tekanan psikologi terhadap askar rejim Zionis, ditambah pula dengan adanya penyiaran video-video penembak tepat mujahidin terhadap askar musuh. Daripada gambar-gambar kemusnahan dan kekalahan tentera rejim Zionis, jelas sekali pejuang HAMAS tidak dapat dipandang enteng lagi seperti dahulu. 

Kemusnahan-kemusnahan Israel Zionis di Gaza 2014:







b. Berjuang dengan Terowong

Gaza selama ini bertalian hayat dengan terowong bawah tanah yang menghubugkan negara kecil itu dengan dunia luar. Dari terowong inilah, bekalan makanan, perubatan, keperluan harian terpaksa dilalui oleh orang Gaza.

Namun demikian, terowong ini juga menjadi senjata ofensif buat pejuang Gaza. Apabila dikaitkan dengan terowong ini, kita tidak dapat mengelak daripada memperkatakan satu bangsa yang kecil menghadapi kuasa besar Amerika Syarikat, iaitu bangsa Vietnam.


Menurut sejarah, bangsa Vietnam merupakan bangsa yang gigih memperjuangkan kedaulatan tanah air mereka. Mereka telah mengusir atau mempertahankan diri daripada Empayar Mongol dan China. Sungguhpun mereka telah dijajah oleh Perancis, mereka gerila petani Viet Minh telah mengalahkan kuasa dunia itu dalam pertempuran Dien Bien Phu pada tahun 1954. Atas alasan membendung fahaman komunis, Amerika Syarikat telah menghantar ketumbukan tenteranya pada 1961. Perang Vietnam menjadi tidak popular dengan Ofensif Tet yang dilancarkan oleh Tentera Vietnam Utara dan gerila Vietcong pada 1968. Sebenarnya ofensif itu berjaya dikekang oleh tentera marin Amerika, akan tetapi media Barat berperanan memperlihatkan bahawa perang itu akan dimenangi oleh orang Vietnam.

Meskipun bangsa Vietnam dibom dengan hebat dari semasa ke semasa, dengan penghantaran tentera ke pedalaman, tentera Amerika gusar kepada serangan gerila dan kesungguhan orang Vietnam. Orang Vietnam menghadapi serangan udara yang tiada berhenti, dengan kepintaran mereka, 'kota-kota bawah tanah' telah dibina dan dihubungkan dengan jaringan terowong yang sofistikated. 


Pihak Amerika sendiri meletakkan keutamaan akan kemusnahan terowong ini kerana percaya itulah rahsia liatnya orang Vietnam mahu tunduk kepada mereka. Kota tersebut serba-serbi lengkap. Adanya dewan, rumah kecil, hospital, dapur, setor, bilik mesyuarat dan sebagainya. Menariknya kota-kota ini mempunyai terowong palsu yang mempunyai jerangkap-jerangkap samar membunuh askar Amerika. Bukan dengan bom, tetapi dengan runcing buluh dalam lubang yang gelap.

Ada persamaan antara mujahidin Gaza dengan pejuang Vietcong menggunakan terowong. Kedua-dua pihak menggunakan terowong ini sebagai 'talian nyawa' untuk orang-orang yang berlindung bawahnya. Terowong ini juga digunakan untuk melancarkan serangan dari arah yang tidak diketahui musuh. 

Pihak musuh seperti Amerika dan rejim Zionis, terpaksa berhempas pulas mencari terowong tersebut dan memusnahkannya. Dan terdapat juga mereka yang terpedaya dengan terowong palsu yang dipasangkan jerangkap untuk menewaskan mereka. Menurut laman akhbar WND, terdapat laporan bahawa tentera elit Zionis telah maut ekoran jerangkap bom yang dipasang oleh pejuang HAMAS. Orang Vietnam pula, hanya menggunakan runcing-runcing buluh ataupun logam di dalam lubang jerangkap yang akan mengakibatkan kematian musuh.


Kesimpulan


Pengunduran tentera Zionis memberikan kelegaan kepada penduduk Gaza dan memberikan pukulan malu buat Tel Aviv. Akhbar agensi Israel, iaitu Hareetz mengkritik keras kegagalan IDF dalam melaksanakan Operasi Protective Edge. Selama 28 hari mengandalkan segala kekuatan, IDF gagal mencapai objektifnya, dan hanya mengundang kecaman dunia. Hareetz dengan lantang mengatakan bahawa tentera Israel tidak secekap dan setangkas dahulu, tetapi ibarat seekor gorila King Kong yang gemuk yang jarinya juga gemuk dan tidak mampu mencapai terowong-terowong HAMAS. 



Semoga Allah memberikan kekuatan kepada umat Gaza menghadapi kehidupan yang perit yang mereka lalui. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada umat Islam untuk kembali kepada-Nya dan kembali bersatu hati. 



Semoga Allah memberantakkan kesatuan musuh dan mencampakkan rasa gerun di hati-hati mereka dan menghancurkan mereka. Semoga Allah menunjuki dengan hidayah-Nya buat hamba-hamba-Nya... Amiin.

Monday, August 4, 2014

Kapal Laksamana Yi dalam Perang Jepun-Korea Abad ke-16

                                            


Buku siri Osprey: Fighting Ships of the Far East (2) memaparkan fakta menarik tentang buatan kapal-kapal perang di Timur(China, Korea, Asia Tenggara & Jepun). Kelihatan daripada trailer filem 'Admiral Yi: Roaring Current', kapal-kapal tersebut dibuat dengan terperinci sekali bertepatan dengan fakta. Filem tersebut merakamkan era kegetiran bangsa Korea menghadapi penjajahan samurai Jepun sepanjang 1592 sehingga 1598. Tentera yang dinaungi oleh penyatu tanah Jepun, Toyotomi Hideoyoshi telah menyeberang dan menjarah satu persatu semenanjung Korea. 



Kerajaan Choson Korea pula dalam keadaan tidak stabil. Satu persatu kota dan tanahair dilanggar oleh tentera Samurai yang tidak berperikemanusiaan. 

Namun pada saat gelap itu, armada yang dipimpin oleh Laksamana Yi Sunshin telah mengalahkan armada Jepun di Pertempuran Hansando pada 1592. 

Paling menarik dalam pertempuran itu adalah armada Korea menggunakan kapal kobukson (kapal kura-kura / Turtle Ship) yang merupakan senjata rahsia mereka. Sebanyak tiga buah kapal tersebut bersama armada Korea (kapal lain bersama panokseons mengasak habis 47 daripada 73 armada samurai Jepun dengan tiada kemusnahan langsung di pihak Korea. 

Hal ini menaikkan semangat orang Korea menentang penjajahan, dan pukulan maut buat gerombolan samurai. 

Namun demikian, Laksamana Yi telah dikhianati dan dipecat daripada jawatannya. Apabila bangsa Korea mengalami kekalahan demi kekalahan, barulah timbul kesalan oleh Maharaja Korea, dan apabila mendengar Laksamana Yi masih hidup, ketua negara itu memanggilnya semula. Namun, armada Korea sudah kehilangan kapal kobukson, dan tinggal 12 buah sahaja untuk berdepan dengan ratusan kapal armada Jepun.

Kapal kobukson atau kapal kura-kura milik armada Korea

Filem tersebut mengetengahkan detik getir Laksamana Yi menyusun strategi bijak berlandaskan pengetahuannya dengan bentuk muka bumi dan arus lautan  di Selat Myongnyang, tenggara Korea.

Dalam pertempuran Myongnyang, armada Laksama Yi telah berjaya mengkucar-kacirkan armada Jepun. Pada saat kemenangan armada Korea itu, sebutir peluru sesat telah hinggap di dada laksamana ulung itu. Laksamana Yi mewasiatkan agar jangan dikhabarkan kematiannya sehinggalah kemenangan berpihak kepada Korea. Laksama Yi menjadi sosok lagenda bangsa Korea. Keberanian, kepintaran mencatur strategi dan ketabahan menghadapi gerombolan musuh yang besar menobatkannya sebagai salah seorang laksamana ulung dalam lipatan sejarah kenteraan lautan. 

Kira-kira 208 tahun selepas itu, seorang lagi laksamana lagenda senasib sepertinya, iaitu Laksamana Nelson. Beliau juga telah terkorban oleh peluru sesat pada saat kegetiran pertempuran Trafalgar.