Tuesday, July 24, 2018

Petualangan Dora dan Gorky: NatGeo Nazi Megastructure

Segala Puji bagi Allah Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Beberapa malam lalu ketika menemani ibu makan malam, kami terpesona menonton keindahan dan keindahan lapangan terbang antarabangsa T4 di Changi, Singapura. Dokumentari menarik National Geographic (Nat Geo) itu memaparkan di sebalik tabir empat tahun usaha gigih dalam merealisasikan lapangan terbang terulung dunia. Usaha yang gigih, tekad yang teguh dan semangat berpasukan yang tinggi menatijahkan yang pencapaian yang membanggakan rakyat Singapura.
  

Usai program tersebut, tanpa diduga munculnya siaran Nat Geo Nazi Megastructure: Russia’s War. Sesuatu yang sukar untuk menekan punat tutup tv. Minat terhadap Ostfront (Medan Timur) Perang Dunia II antara pihak Paksi Sosialis Kebangsaan Nazi Jerman dan Kesatuan Sosialis Soviet Rusia sudah lama ditinggalkan. Tetapi ingin juga melihat apakah fakta baru yang dihidangkan kali ini.

<iframe width="560" height="315" src="https://www.youtube.com/embed/GwewwLETNko" frameborder="0" allow="autoplay; encrypted-media" allowfullscreen></iframe>

Ternyata dokumentari itu menyorot sesuatu yang jarang diketahui dalam Ostfront. Selama ini seringkali diketengahkan kemaraan perang kilat (Blitzkrieg) Nazi Jerman bersama pasukan kereta kebal Panzer mengasak Tentera Merah Soviet. Kajian episod ini menumpukan perhatian terhadap sistem perkubuan di Medan Timur terutamanya pihak Soviet di Selatan Rusia.

Ostfront: Pertarungan Ideologi

Seperti sedia maklum, Hitler dengan gagasan rasisme ekstremnya sering menganggap bahawa musuh hakiki dunia adalah komunisme dan Yahudi. Pandangan yang dibina oleh Hitler dan Parti Sosialis Kebangsaan Nazi menanamkan semangat perkauman yang tebal dan menganggap rakyat Rusia sebagai sub-human atau lebih rendah daripada manusia. Bangsa Aryan seperti Jerman layak memimpin dunia dan bangsa hina ini harus tunduk sebagai hamba atau sebaiknya dihapuskan. Menurut pengkaji, ideologi inilah yang begitu menonjol di Ostfront yang tidak ada sepertinya di Barat Eropah.

Wehrmacht, ketumbukan tentera Nazi Jerman bersama dengan sekutunya telah melancarkan serangan ofensif terbesar dalam sejarah dunia. Serangan itu dilancarkan pada 22 Jun 1941 dalam keadaan Tentera Merah tidak bersedia. Medan pertempuran meliputi dari lautan Baltik di Utara sehingga ke Laut Hitam. Ribuan jentera perang dan pesawat menggempur kedudukan Tentera Merah dengan lebih 3 juta perajurit mara memasuki tanah besar Rusia.

Dengan menjadikan Moscow sebagai sasaran awal ofensif Operasi Barbarossa, Rusia mengalami asakan hebat Wehrmacht dari tiga penjuru. Serangan dari Utara, Tengah dan Selatan. Pasukan Jerman di Utara (Army Group North) dan Tengah (Army Group Centre) Wehrmacht mara dengan begitu pantas mencemaskan diktator Joseph Stalin.

Sebaliknya di medan Selatan pula, pasukan Jerman di Selatan (Army Group South) mengalami tentangan yang amat sengit. Satu faktor adalah di selatan Rusia terdapat banyak perkubuan kukuh yang telah dibina sejak 1928 yang digelar sebagai Garisan Stalin (Stalin Line). Angka korban Group South jauh lebih tinggi akibat pertahanan kukuh Soviet ini.

Pengeboman Mengejut Soviet

Dalam kemaraan tangkas Wehrmacht ke arah Moscow, seakan-akan malapetaka bagi Ibu Pertiwi Rusia. Tentera Jerman hanya berada 300km sahaja dari ibu kota Rusia itu. Beberapa siri serangan balas Tentera Merah menghantar skuadron pengebom ke telaga minyak sekutu Jerman, iaitu Romania di Ploesti. Ini telah membuatkan Hitler berang. Serangan itu sungguhpun tidak dalam skala yang besar, tetapi mengakibatkan sebanyak 9,000 tan minyak dan lojinya terbakar. Petrol sebanyak itu boleh menampung 5 kali beban setiap divisyen panzer Jerman. Hitler tidak mahu kerugian lebih lagi.   
Medan minyak Romania
Skuadron pengebom Tentera Merah itu dilancarkan dari pangkalan Sevastopol tentera laut Soviet di Semenanjung Krimea di Laut Hitam Ukraine. Hitler menjadi bimbang akan terganggunya bekalan petrol tenteranya dan mengarahkan pangkalan Sevastopol segera ditakluk.

Serangan kepada Moscow menjadi perlahan tetapi asakan di Selatan bertambah. Pada musim sejuk lampau dalam November 1941, ofensif Wehrmacht terhenti hanya 15km dari Moscow. Tentera Jerman tidak bersedia untuk menghadapi musim sejuk ini. Salji tebal melanda Rusia. Suhu telah menjunam kepada negatif 35 bawah paras beku. Stalin melancarkan serangan balas mengusir tentera Jerman yang dianggap tidak dapat dikalahkan. Sungguhpun terpukul teruk, Wehrmacht masih dapat bertahan dan melakukan pengunduran.

Sevastopol Mesti Tumbang

Pada musim panas 1942, Hitler mengarahkan ofensif terhadap Rusia dimulakan kembali. Hitler mahukan Sevastopol ditumpaskan. Inilah tumpuan yang diberikan dalam dokumentari ini. Pengepungan Sevastopol diberikan kepada Jeneral von Manstein Pasukan Kesebelas (11th Army) yang terdiri daripada 200,000 perajurit, 670 meriam, 450 mortar, 720 kereta kebal panzer dan 600
pesawat perang. Pihak Soviet yang bertahan di pangkalan Sevastopol ini dalam sekitar 100,000 orang merangkumi askar, kelasi dan marin dan juga 600 pucuk meriam dan sejumlah kecil kereta kebal dan pesawat.

Beberapa perkara khusus yang menarik perhatian dalam dokumentari ini:

1. Pengebom Taktikal Junkers Ju-88

Pihak Nazi Jerman banyak menumpukan perhatian dalam pembangunan pesawat penyerang taktikal sebelum Perang Dunia Kedua. Antaranya adalah pesawat pengebom pantas yang digelar Junkers Ju-88. Lantas, Ju-88 juga mendapat jolokan “Schnellbomber” atau pengebom pantas. Ju-88 digunakan sebagai ‘jack of all trade’ yang boleh melaksanakan pelbagai misi. Ini termasuklah pengebom taktikal, pengebom torpedo, pengebom junam, pejuang berat, pejuang malam, peninjauan dan sebagainya.

Kepantasan 

Menurut kajian, Ju-88 adalah pengebom pantas pada zamannya, dan mula tergugat apabila munculnya pesawat pejuang musuh yang semakin pantas dan lincah. Tambahan pula, tahap perlindungan yang minima beserta senjata yang tidak mencukupi menyukarkan kru Ju-88 untuk bertahan. Oleh itu, Ju-88 banyak menggunakan kelajuan tinggi dan ketangkasan juruterbang untuk menyelamatkan diri daripada pemintas musuh.

Berpura-pura rosak

Jurutera Jerman telah merekabentuk Ju-88 dengan cara yang amat kreatif. Ketika dikejar oleh pesawat pemintas musuh, juruterbang boleh menetapkan mod pesawat berpura-pura rosak. Krew pesawat menggerakkan tuil yang membolehkan sebahagian minyak dilepaskan ke dalam satu bahagian enjin yang menghasilkan asap yang tebal. Pesawat pemintas musuh boleh terpedaya menyangka bedilan menyebabkan Ju-88 menjunam ke arah bumi. Sebaliknya, itu adalah ‘lakonan’ semata-mata.


Autojuruterbang   

Satu ciri yang dianggap canggih dilengkapi pada Ju-88 adalah teknologi autojuruterbang yang mendahului zamannya. Terutamanya ketika pengeboman junaman (dive bombing), autojuruterbang boleh ditetapkan oleh juruterbang ketika membidik kedudukan musuh. Hal ini memberikan ruang kepada juruterbang untuk memastikan ketepatan serangan.


2. Kompleks Meriam Gergasi Maxim Gorky

Pengkaji Nat Geo membawakan penonton ke tapak sistem meriam gergasi pesisir Soviet di pangkalan Sevastopol yang diberi nama Maxim Gorky I dan II. Meriam-meriam gergasi ini tertanam di Barat Semenanjung Krimea dalam binaan konkrit yang tahan dibedil. Tenggekan (turet) meriam gergasi ini begitu besar seumpama sebuah kapal perang terhunjam di dalam bumi. Pengkaji menunjukkan terowong yang dalam, bilik-bilik kawalan, gudang senjata jauh ke dalam tanah. Dikatakan kompleks itu dibina sedalam 80 kaki dari permukaan bumi. Disebutkan bahawa bedilan meriam gergasi ini memberikan tentangan sengit yang membinasakan banyak jiwa Jerman.

3. Meriam Gergasi Jerman
Serangan pasukan von Manstein yang bermula Jun 1942 mendapat tentangan yang amat sengit daripada pertahanan Sevastopol. Setelah tiga minggu mengepung, jeneral itu terpaksa meminta bantuan daripada Pasukan ke-17. Betapa degilnya pertahanan Soviet sehinggakan Hitler menghantar meriam terbesar dunia, iaitu meriam keretapi 80cm Kanone (E) seberat 1320 tan atau dikenali sebagai ‘Dora.’ meriam ini memerlukan 1,500 orang tawanan Rusia, 1000 tenaga kerja Organisasi Nazi Todt dan 60 jurutera untuk membina tapak keretapi. Dengan segala kesungguhan mempertahankan Sevastopol, akhirnya bendera Swastika berkibar di sana pada 29 Jun 1942. Bersama dengan Dora adalah mortar gergasi yang turut membedil kedudukan Tentera Merah.

Sungguhpun von Manstein telah dianugerahkan pingat Fil Marsyal menakluk Sevastopol, namun Pasukan Kesebelasnya terlalu menyusut lemah dan tidak berdaya lagi untuk mara.

Pertualangan antara kuasa Nazi Jerman dan Soviet Rusia di Ostfront telah memakan korban jutaan nyawa. Dasar kejam Nazi Jerman telah menghapuskan etnik yang mereka anggap bukan manusia. Ramai di kalangan mereka dibunuh ataupun sebahagian lain dijadikan hamba industri membina jentera perang di kilang Jerman. Peperangan yang dicetuskan oleh idelogi yang dahagakan darah ini sepatutnya menjadi pengajaran. Idea ekstrem jika benihnya dibiarkan tumbuh akan mengakar dan merebak sehingga merosakkan fikiran manusia yang mencambahkan perbuatan-perbuatan aniaya terhadap diria, terhadap alam dan terhadap Tuhan.

Rujukan:

1. Bishop, C. dan Warner, A. (ed), (2001). German campaigns of world war ii. Chartwell Inc.: New Jersey
2. Bishop, C. dan Warner, A. (ed), (2001). German weapons of world war ii. Chartwell Inc.: New Jersey
3. Forczyk, R., (2008). Osprey campagin 189: Sevastopol 1942: Von manstein’s triumph. Osprey Publishing Ltd.: Oxford

4. National Geographic launches Asia premiere of Inside T4: Terminal of Tomorrow, di laman web http://www.eglobaltravelmedia.com.au/national-geographic-launches-asia-premiere-of-inside-t4-terminal-of-tomorrow/ pada 20 Julai 2018.

5. Short, N., (2008). Osprey fortress 77: The stalin and molotov lines: Soviet western defences 1928-41. Osprey Publishing Ltd.: Oxford
6. Zaloga, S. J., (2016). Osprey new vanguard 231: Railway guns of world war ii. Osprey Publishing Ltd.: Oxford