Sunday, October 28, 2012

Merungkai Lagenda Serbuan Light Brigade(I)


"The Charge of the Light Brigade – Researchers use satellite technology and archaeological finds to unearth the truth about what happened at Balaklava during the most celebrated battle of the Crimean War. How disastrous was the British cavalry charge-and who were the actual heroes in the defense of Balaklava?" ~Blog prebiu DVD Battlefield Detectives Why So blu?


Dokumentari berjudul ‘Battlefield Detective: Charge of the Light Brigade’ memaparkan rencana menarik dalam sejarah Perang Krimea yang berlangsung pada tahun 1853-56. Dokumentari tersebut membongkar semula misteri di sebalik lagenda terkenal serbuan Light Brigade ataupun Charge of the Light Brigade. Sebaliknya, kajian ini juga mengangkat peranan tentera Daulah Uthamniyyah, Asakir-i Mansure-yi Muhammadiye, justeru membersihkan nama mereka daripada label pengecut, tidak berdisiplin dan lemah dalam kepimpinan.


Dokumentari Battlefield Detectives merupakan dokumentari yang mengupas kembali kebenaran lagenda dalam sejarah, adakah benar ataupun diselubungi mitos. Dengan menggunakan khidmat pakar pengkaji, peminat sejarah dan juga penyelidik saintifik, dokumentari ini bersifat autentik dari segi pembuktiannya. 

Kajian berlandaskan kepada sumber primer daripada dokumen asal, pencarian artifak dan deduksi menggunakan teknologi terkini. Daripada himpunan fakta yang ada, sejarah dapat disuluh kembali kepada zaman tersebut.

Adakah anda pernah mendengar sajak (poem) 'Charge of the Light Brigade', nukilan  Alfred Tennyson? Saya membaca sajak ini ketika berada dalam tingakatan 4 alam persekolahan.

Lagenda Serbuan Light Brigade tertanam kukuh sejak Perang Krimea. Pihak Berikat yang terdiri antara serikatan British-Perancis-Uthmaniyyah mengepung pelabuhan utama Rusia di Laut Hitam di Sevastopol. Pihak Rusia melancarkan serangan balas atas perimeter pelabuhan bekalan pihak Berikat, Balaklava yang terletak di selatan Sevastopol.
Pelabuhan Balaklava, Krimea, selatan Rusia

Dalam insiden tesebut, Serbuan lagenda Light Brigade dijulang sekian hebat, sehinggakan menggerhanai pertempuran lain di Balaklava yang tercetus pada tahun 1854 itu.

Kajian ‘Battlefield Detective: Charge of the Light Brigade’  ini berpusat kepada dua perkara:

i. Apakah sebenarnya berlaku di sebalik Sebuan Light Brigade?

Lagenda menyelubungi serbuan Light Brigade atas artileri meriam Don Cossack tentera Rusia mengatakan bahawa serangan heroik tersebut dilaksanakan dengan jayanya, tetapi dengan korban yang tinggi. Tetapi, setakat jauh manakah kebenaran lagenda ini?

ii. Peranan tentera Daulah Uhtmaniyyah dalam pertempuran Balaklava
Ketika era Perang Krimea, peranan tentera Uthmaniyyah diperkecilkan terutamanya oleh media akhbar yang merendah-rendahkan sumbangan mereka. Adakah benar tentera Muslim ini merupakan tentera yang tidak menyumbang apa-apa?

Mari kita teliti sepintas lalu latar belakang konflik Perang Krimea yang berlangsung antara tahun 1853 sehingga 1856:


Latar Belakang Konflik
Baitul Maqdis ataupun Jerusalem ketika era Uthmaniyyah
Pada pertengahan abad ke-19, Daulah Uthmaniyyah (kebiasaan sejarawan Barat melabel sebagai Ottoman Empire) digelar ‘Orang Sakit Eropah.’ Ungkapan masyhur tersebut dilafazkan oleh maharaja Empayar Rusia, Tsar Nicholas I. Jolokan tersebut ‘melekat’ di bibir Barat. Walaupun menjalankan dasar pemodenan, organisasi semula ataupun ‘Tanzimat,’ kemerosotan masih tidak dapat diatasi dengan baik.

Perang Krimea yang berlangsung pada tahun 1853 sehingga 1856 disebabkan Daulah Uthmaniyyah tersepit antara pertindihan, pertelingkahan, tuntutan, desakan dan ugutan Kuasa Besar. Pada tahun 1853, berlaku pertindanan mengenai isu siapakah kononnya ‘penaung sebenar’ kepada orang Kristian dalam Daulah Uthmaniyyah. Isu ini dibangkitkan oleh Kuasa Besar Perancis yang menganut Kristian Katolik dan Rusia yang beragama Kristian Ortodoks. Masing-masing ingin menjadi jaguh, akhirnya pergeseran tersebut semakin memuncak. 



Akhirnya, pihak Rusia bertindak menceroboh wilayah Moldova dan Wallachia pada tahun 1853. Tambahan lagi, tentera laut Rusia mara sehingga memusnahkan armada Uthmaniyyah di Anatolia. Tentera Daulah Uthmaniyyah Bimbang akan kepentingannya terjejas, British mengisytiharkan perang terhadap Rusia atas alasan membantu Daulah Uthmaniyyah. Ini diikuti oleh Perancis. Maka terbentuklah tentera Berikat Anglo-Perancis-Uthmaniyyah.

Tentera Berikat mendarat di Krimea, selatan Rusia. Pelabuhan Sevastopol, pangkalan utama tentera laut Rusia di Laut Hitam dikepung.Walaupun kalah pada permulaannya, tentera Rusia bergabung kembali. Sasaran mereka adalah untuk mara dan menawan semula pelabuhan Balaklava. Pelabuhan tersebut adalah nadi kepada tentera Berikat. Jatuh Balaklava, maka tentera yang mengepung Sevastopol juga akan terkepung.





Lagenda Charge of the Light Brigade

                        

Di sinilah bermulanya lagenda mitos serbuan Light Brigade. Dikatakan, Light Brigade, sebuah ketumbukan unit kavalri (tentera berkuda) yang menyerang pantas merempuh meriam-meriam Rusia dalam serangan membunuh diri (suicide). Mereka merempuh bedilan meriam bertubi-tubi artileri Rusia dalam serangan heroik sehinggalah penghabisan misi mereka terkorban semuanya. Kisah serbuan Light Brigade ini menjadi berita sensasi di Britain, apabila rakyat jelata mengetahuinya dengan membaca surat khabar. 



Lagenda The Thin Red Line
                         

Satu lagi lagenda yang tidak kurang sensasinya dalam episod pertempuran Balaklava 1854 ialah pertahanan ‘The Thin Red Line.’ Lagenda mengatakan, ketumbukan Sutherland Highlanders ke-93 telah mengekang kemaraan kalvari Rusia. Gelaran ‘The Thin Red Line’ menjadi jolokan kepada mana-mana unit yang bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka. Sejauh manakah lagenda ini benar?


Imej Sendeng Tentera Daulah Uthmaniyyah
Sebaliknya, tentera Daulah Uthmaniyyah dipandang serong oleh media surat khabar. Mereka dipandang sebagai tentera picisan, pengecut, sering lari dari medan tempur, tidak berdisiplin dan lemah dalam kepimpinan. Eropah memandang tentera Daulah Uthmaniyyah sebagai ‘second rate’ ataupun kelas kedua tidak setara dengan kualiti tentera mereka. Hanya selayaknya mereka diberikan dengan tugas-tugas kurang penting dalam ketenteraan.


Detektif Tempur: 

Berbalik kepada dua tumpuan kita dalam perbincangan kali ini:
i.        
     1.  Apakah sebenarnya berlaku di sebalik Sebuan Light Brigade

      1.1 Misi Menawan Meriam



Sejurus setelah 5 Redoubt telah jatuh ke tangan Rusia, komander kepada Light Brigade, Lord Cardigan menerima arahan daripada Jeneral British, Lord Raglan untuk menawan meriam-meriam British kembali. Menurut kajian, meriam merupakan aset yang terlalu berharga untuk ditawan pihak musuh. Oleh yang demikian, demi merampas kembali meriam-meriam tersebut, ketumbukan yang paling pantas adalah paling sesuai melaksanakan misi tersebut. Light Brigade telah dipilih.


1.2 Meriam Tidak Kelihatan
                                             

Walaubagaimanapun, arahan tersebut menimbulkan kekeliruan, beliau harus akur akan perintah ketuanya. Mengapa? Kajian saintifik Battlefield Detectives  berlandaskan lukisan kontemporari (pada era Perang Krimea) dan pengkajian bentuk muka bumi digunakan. Hasil mendapati bahawa, dari kedudukan kem Light Brigade Lord Cardigan, kedudukan Redoubt yang ditawan tentera Rusia tidak kelihatan meriam-meriam tersebut. 

Lebih-lebih lagi, beliau tidak tahu adanya kedudukan baru artileri meriam Rusia Don Cossack yang sudahpun bersedia menghadapi ancaman di hujung lembah.


1.3 Lord Cardigan Melancarkan Serangan


Lord Cardigan memacu kudanya bersama Light Brigade. Mengikut kajian Battlefield Detective, dianggarkan mengikut model matematik, dengan pacuan kuda Light Brigade, mereka akan tiba di kedudukan misi mereka dalam lingkungan 7 minit sahaja dalam keseluruhan 30 minit serangan.

Setibanya di lembah yang puncaknya ditawan Rusia, Lord Cardigan merasakan bahawa sesuatu yang bahaya sedang berlaku: mereka terperangkap di lembah yang diacu dengan meriam-meriam Rusia. Dan di hujung lembah itu, tersusun barisan meriam artileri Don Cossack. 







1.4 Light Brigade Dibedil Bertalu-talu oleh Semua Meriam Rusia?

Pengulas kontemporari British mengungkapkan Light Brigade melalui 'Valley of Death' ataupun Lembah kematian. Meriam Rusia mula membedil Lord Cardigan. Kajian mendapati bahawa Light Brigade hanya dibedil oleh sesetengah unit meriam Rusia sahaja apabila mereka dalam jarak tembakan. Apabila Light Brigade meluru melepasi unit meriam selanjutnya, unit meriam sebelumnya akan menghentikan bedilan. 

Sehinggalah di hujung lembah, usai 7 minit Light Brigade menggempur kedudukan meriam Don Cossack. Manakalah meriam dari puncak-puncak Redoubt ditawan pihak Rusia yang lain menghentikan bedilan bagi mengelakkan terkena tembakan kepada unit sahabat.

Kajian tersebut merungkaikan, bahawa Light Brigade tidak dibedil oleh kesemua meriam Rusia pada suatu masa yang menyebabkan (secara lagendanya) kesemua anggotanya terkorban. Bahkan, Light Brigade mnghadapi bedilan tersebut unit demi unit meriam Rusia yang dalam jarak tembakan mereka.






1.5 Majoriti Individu Light Brigade Hidup Selepas Serbuan

Battlefield Detective merungkai daripada rekod peribadi anggota Light Brigade bahawa majoriti daripada mereka terselamat daripada serangan tersebut. 


Namun demikian, media akhbar menceritakan aksi sejati mereka bahawa kesemua mereka terkorban. Bahkan, kajian menjelaskan bahawa nisbah 6 daripada 7 orang yang terlibat dalam serangan tersebut.Oleh yang demikian, mengapakah serbuan Light Brigade dibesar-besarkan, sehingga tahap dahsyat seperti yang digembar-gemburkan?




Menurut Battlefield Detectives, ini kerana tindakan akhbar tersebut adalah sebagai kempen psikologi terhadap musuh British. Hal ini merupakan satu propaganda mereka untuk menunjukkan kepada pihak Rusia (dan dunia tentunya) bahawa tentera British akan sanggup berbuat apa sahaja untuk merampas kembali milik mereka.





1.6 Adakah Misi Serbuan Light Brigade Tercapai?

Battlefield Detectives merungkaikan, bahawa serbuan Light Brigade tidak memberikan apa-apa signifikan sama ada dalam hal strategik mahupun taktikal dalam Pertempuran Balaklava. Tambahan pula, meriam-meriam tidak ditawan, dan kedudukan yang ditakluk musuh langsung tidak dapat dikuasai semula. Maka, Serbuan Light Brigade tidak lebih daripada propaganda British pada zaman tersebut.

Memetik sinopsis siri ini, siapakah wira sebenar dalam pertempuran Balaklava 1854? Sejarah telah menyelak wajah sebenar mereka, membela sesiapa yang di pihak kebenaran. Tentera terpinggir, Asakir-i Mansur-yi Muhammadiyye, yang bermaksud ‘Tentera Nabi Muhammad (s.a.w) yang Menang’ adalah wira sebenar yang dimaksudkan oleh Battlefield Detectives.
                            

Insya-Allah, kita sambung kupasan dalam episod getir selanjutnya di....

Merungkai Lagenda Serbuan Light Brigade(II)...